Monday, December 15, 2008

Sayangku, ALAM


Sunyi malam sering buat manusia berfikir. Fikir punya fikir, banyak pula benda yang terfikir. Alahai minda, sakit-sakit kepala begini banyak pula yang bertandang di benak. Ujian kesihatan yang tuhan berikan membuatkan mata ini sukar lelap. Jika ini kifarah dosaku, maka aku redha. Lewat senja tadi, sekeluarga awan hitam bertandang di langit desaku, namun belum sempat memuntahkan isinya, terus mereka berlalu. Namun anginnya sempat meribut jemuran.

Melihat kelakuan alam, aku sujud penuh syukur lantaran bicara sang alam terhadapku masih sopan. Hujan yang ku rindu, datangnya penuh syahdu, kadang berlalunya buat aku cemburu. Namun, riuh rendah di ibu kota, amukkan sang alam sungguh dahsyat dan di timur tanah air hujan bukan lagi pengubat rindu tetapi bencana penuh sendu.

Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Cukuplah media mengulas, spekulasi demi spekulasi...adalah lebih wajar memikirkan tindakan seterusnya daripada menuding jari kepada mana-mana pihak. Apapun, yang terjadi tetap terjadi. Cumanya peringatan untuk diri yang bakal berkecimpung dalam bidang pembinaan harusnya tahu mana yang patut mana yang tidak. Jangan ketamakan mengadai indah ciptaan tuhan. Bila tuhan beri amaran, baru terngadah mohon keampunan, namun kesakitannya kekal berpanjangan. Seperkara lagi, betapa jika kejadian ini berlaku 3 atau 4 tahun yang lalu, mungkin aku juga mangsanya. Masih basah lagi kenangan berkampung di rumah saudara di Bukit Antarabangsa sewaktu menuntut di Intec dahulu. Hampir saban minggu di situlah tempatku. Syukur juga keluarga saudaraku itu telah berpindah dari situ.

Sungguh, aku diberi peluang untuk terus bernafas tenang setenang alam di sekelilingku. Namun derita mereka, aku tak pernah lupa. Manakala pada sang alam, suara mu, nyanyikan lagu merdu untukku, dengan izin tuhan kita, aku akan menjaga kamu, inshaAllah.

No comments: