Dedicated all to my sisters, as a reminder to me and to you...
Firman Allah di dalam surah AlQuran;
Isu hijjab atau lebih biasa dengan sebutan tudung bukanlah suatu isu luar biasa di negara kita. Di sana sini, melihat anak gadis mahupun wanita dari sebarang usia memakai kain kerudung mahupun tudung di kepala adalah perkara biasa. Bahkan bilangan perempuan yang bertudung boleh dikatakan lebih banyak –Alhamdulillah- jika dibandingkan dengan yang tidak bertudung. Namun begitu, jika dinilai dari segi kesempurnaan menepati syariat. pemakaian tudung di negara kita, kadangkala lebih berunsur fesyen dan budaya bukan ketaatan terhadap perintah agama.
Seawal melangkah ke alam persekolahan, ada ibu bapa yang menyedari akan tangunggjawab mendidik anak perempuanya untuk memakai tudung atau dengan kata lain, anak kecil dibiasakan dengan memakai sehelai kain yang meliputi rambutnya. Maka dengan izin Allah, membesarlah anak tersebut sebagai seorang yang bertudung. Namun demikian, sejauh manakah anak itu memahami syariat yg difardhukan ke atasnya. Sejauh manakah anak itu sedar, tudung yang meliputi sebahagian kepalanya itu merupakan ‘bendera Islam’ yang melambangkan imej agama Allah ini.
Sesungguhnya, jika di dalam suatu perarakan, mahupun di medan perang, pemegang panji mahupun bendera sudah tentu bukanlah sebarangan orang. Sedikit tidak, individu tersebut pastinya individu yang ‘terpilih’. Sebagai seorang individu muslim, tidakkah kita bangga dengan bendera islam yang diberi kepada kaum wanita untuk dipegang lantas mempamerkan imej agama kepada dunia.
Mengapa ‘hijjab’ atau panggilan mesranya ‘tudung’ dikatakan sebagai bendera Islam? Berada di Malaysia atau mana-mana negara yang majoritinya umat Islam, mungkin ramai yang tidak sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar akan nikmat syariat hijjab ke atas seseorang muslimah. Namun begitu, beradanya saya di negeri yang majoritinya bukan Islam, ‘hijjab’ sebagai bendera Islam begitu jelas pada mata dan minda saya. Saya beri contoh mudah disini; jika di Malaysia, biasanya lelaki yang dilihat di jalanan sekalipun tidak berkopiah, jika mukanya Melayu, selalunya Islamlah agamanya. Begitu juga jika dilihat seorang wanita sekalipun tidak bertudung namun jika mukanya Melayu, selalunya Islamlah dia. Melayu begitu disinonimkan dengan Islam sehingga kadangkala melihat seorang Cina bertudung, kita lebih cenderung memikirkanya sebagai Melayu berwajah Cina berbandang seorang Cina yang memeluk Islam. Namun begitu, situasi begitu tidak berlaku di sini (Melbourne), Islam di sini, bukanlah Melayu semata, dan yang paling jelas, bukanlah kelompok majoriti. Jika dilihat seorang lelaki berwajah tempatan di mana- mana selain di surau, sudah tentu tidak tuntas hati memikirkan dia adalah seorang muslim. Namun, jika seorang wanita berwajah tempatan, hidungnya mancung matanya biru, tetapi memakai hijjab, tanpa berfikir panjang, kita tahu dia adalah seorang muslimah.
‘Hijjab’ di bumi asing ini, lebih dihayati maknanya daripada di bumi yang dekat di hati tetapi jauh dari kaki. Ke mana sahaja saya pergi, orang tahu saya seorang muslim. Bahkan pemakaian ‘hijjab’ menjadikan saya pusat tumpah rasa ingin tahu mereka yang asing dan tidak kenal dengan Islam. Bahkan, jika seorang lelaki mahu bertanya tempat solat, mereka lebih cenderung untuk bertanya kepada perempuan-perempuan bertudung sekalipun kadangkala lelaki Islam ada berdekatan dengannya. Hal ini kerana, lelaki tersebut tidak dapat mengenaltahu keislaman seorang lelaki hanya pada rupa. Jika mahu dilihat pada janggut, ramai sahaja orang beragama lain yang berjanggut. Bahkan ‘Santa Clause’ juga digambarkan berjanggut. Saya sering dilontari dengan persoalan, ‘Bolehkan kain yang meliputi kepala ini ditanggalkan? Bila dan di mana saya boleh menanggalkan? Bagaimanakah saya menjaga rambut? Bahkan ada yang menyangka saya memakai tudung hanya pada musim sejuk kerana kesejukan’. Seawal keberadaan saya di sini, agak rumit untuk sering menjelaskan kepada sesetengah orang yang langsung tidak punya sebarang pengetahuan tentang Islam, bahkan adalah lebih sukar untuk menjelaskan kepada mereka yang mengenali Islam dari kaca mata barat iaitu sebagai agama ‘terrorist’. Namun demikian, lama kelamaan, saya semakin menyedari, bermula dengan rasa ingin tahu mereka terhadap sehelai kain yang melitupi sebahagaian kepala saya ini, mereka cenderung untuk bertanya persoalan lain tentang agama yang mulia ini. Atau, secara ringkasnya, saya katakana di sini, kerana saya bertudung, saya punya peluang untuk menjelaskan Islam kepada dunia. Adalah sukar untuk terus menimbulkan isu agama ketika berborak dengan individu tidak seagama. Namun, apabila mereka yang memulakan terlebih dahulu, bukankah lebih mudah?
Berbalik kepada isu hijjab di negara kita, apabila membicarakan isu aurat, ramai yang akan berlagak lega lantaran telah bertudung, atau dengan kata lain rambutnya telah diliputi dengan sehelai kain. Fikir dan nilai kembali, sejauh manakah pemakaian tudung tersebut telah menepati syariat yang ditetapkan ke atas kita?.
Apabila tiba waktu solat, kebanyakan perempuan di Malaysia akan mancari telekung, kadangkala ada yang tidak bersolat atas alasan tiada telekung. Seperti yang kita tahu, aurat sewaktu solat adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tangan. Namun, apakah ramai diantara kita lupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa aurat seorang wanita diluar waktu solat juga adalah sama. Definisi aurat sering dilihat pada sehelai kain yang membaluti sebahagian kepala berbanding makna sebenarnya disisi syariat. Maka tidak hairanlah, begitu ramai sekali yang bertudung tetapi berbaju dan berseluar ketat bagaikan nangka sarat. Bahkan, lebih memalukan apabila perempuan bertudung, bajunya singkat, apabila duduk terangkat lalu menampakkan sebahagian badan mahupun pakaian dalamnya. Begitu juga apabila bertudung tetapi bajunya jarang seolah-olah aurat itu hanya dikepala yang lainya tiada dosa dianginkan dimana-mana. Ditambah lagi kadangkala tudung yand dipakai itu nipisnya bagaikan kelambu nyamuk yang hanya tidak dapat ditembusi nyamuk tetapi jelas sekali apa di dalamnya sehingga kadangkala saiz telinga dan anting-anting dapat dilihat jelas maka jadilah fesyen tersebut seperti ‘Mickey Mouse’ yang begitu jelas telinganya.
Mengapakah ini berlaku? Senario seperti ini lahir lantaran nilai hijjab mahupun syariat menutup aurat tidak jelas di mata dan minda kita. Begitu ramai yang bertudung, namun berapa ramaikah yang bertudung dengan luhur hati diniatkan kerana Allah S.W.T. atau mungkin pemakaian tudung sekadar fesyen yang diikuti dari rakan-rakan mahupun kerana budaya atau paksaan dari ibubapa? Setiap kali mengenakan pakaian ke badan, seringkah difikirkan redha Ilahi atas setiap yang dipakai. Mungkih mudah untuk membaca ‘bismillah’ sebelum memakai baju. Namun, cuba bayangkan, jika seseorang yang sedang bersiap untuk keluar, mengenakan sehelai baju T ketat lagi singkat membaca ‘bismillah’ untuk baju yang dipakai. Sekali fikir mungkin tidak pelik, namun jika ditenung makna tindak tersebut seolah-olah seperti ..’dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang aku mengenakan T-shirt singkat lagi ketat ini’. Tidakkah pelik?
Syariat menutup aurat bukan suatu yang boleh dipandang lega di negara kita. Bilangan muslimah yang bertudung sama sekali tidak mewakili bilangan muslimah yang betul-betul taat pada syariat menutup aurat. Imej Islam tidak terpamer sekalipun pemegang benderanya ramai. Jika dilihat muslimah yang auratnya dilitup sempurna, maka digelarnya ‘ustazah’, apa ramai diantara kita nyanyuk bahawa syariat menutup aurat bukan difardhukan ke atas ustazah semata. Kita tenung dan lihat, mudah sekali untuk menentukan taat pada syariat aurat ini, jika pakaian yang dipakai tarafnya sempurna untuk dibawa solat, insyaAllah tertutup sudah aurat. Tidak kisah apa fesyennya, tidak seharusnya jubah mahupun baju kurung, jika menepati pada syariat maka kita sudah taat. Kalau makan kita mahu semuanya halal, kalau berpakaian mengapa tidak begitu?. Maka, kita selaku pemegang bendera, kita punya amanah untuk pamer imej Islam yang sempurna.
Ditulis lebih kurang setahun yang lalu, tapi baru nak post..hee
Comments
Nice article but why did you 'jeruk lama2' and thanks for visiting.
Salam.